Syeikh Burhanuddin Ulakan adalah murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali
al-Fansuri dari Aceh, Syeikh Burhanuddin Ulakan inilah orang pertama
menyebarkan Thariqat Syathariyah di Minangkabau. Syeikh Burhanuddin
Ulakan yang tersebut wafat pada tahun 610 H/1214 M. Menurut riwayat pula
bahwa Syeikh Burhanuddin Ulakan datang bersama dengan Syeikh Abdullah
Arif yang menyebarkan agama Islam di Aceh.
Syeikh Burhanuddin pertama datang ke Minangkabau mengajar di Batu
Hampar sekitar 10 tahun lamanya. Sesudah itu, dia berpindah ke
perkumpulan yang dekat dengan imam Bonjol, beliau mengajar di situ
sekitar lima tahun. Kemudian dia meneruskan kegiatan dakwahnya ke
Ulakan, Pariaman, mengajar selama 15 tahun. Dilanjutkan pula mengajar
di Kuntu, Kampar Kiri, di sana dia mengajar selama 20 tahun, sehingga
dia wafat pada 610 H/1214 M.
Diriwayatkan pula bahawa peninggalan-peninggalan Syeikh Burhanuddin
Ulakan yang tersebut ialah berupa sebuah stempel yang diperbuat
daripada tembaga tulisan Arab, sebilah pedang, kitab Fathul Wahhab
karya Syeikh Abi Zakaria al-Ansari dan khutbah Jumaat tulisan tangan
dalam bahasa Arab.
PENDIDIKAN
Namanya ketika masih kecil ialah Si Pono, ayahnya bernama Pampak.
Ayahnya masih beragama Buddha, namun Si Pono dari Sintuk pergi ke
Ulakan, pergi belajar kepada Angku Madinah yang berasal dari Aceh. Pada
tahun 1032 H/1622 M atas anjuran gurunya, dia melanjutkan pelajaran
agama Islam kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh. Lalu
Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri menukar namanya daripada Si Pono menjadi
Burhanuddin. Tiga belas tahun lamanya dia belajar kepada ulama yang
wali Allah itu. Ketika belajar berteman dengan beberapa orang, di
antaranya Datuk Marhum Panjang dari Padang Ganting Tanah Datar,
Tarapang dari Kubang Tiga Belas (Solok) dan lain-lain.
Beliau adalah seorang yang sangat patuh kepada gurunya, hal ini pernah
diceritakan oleh Dr. Syeikh Haji Jalaluddin dalam salah satu bukunya
sebagai berikut di bawah ini, “Dari sehari ke sehari tumbuhlah kasih
sayang, takut dan malu kepada Syeikh tersebut. Pada suatu hari Syeikh
itu mengunyah- nguyah sirih. Tiba-tiba tempat kapur sirihnya terlepas
dari tangannya jatuh ke dalam kakus. Yang mana kakus (tandas,pen:) itu
sangat dalam, telah dipakai berpuluh-puluh tahun”. Tuan Syeikh berkata:
“Siapa antara kalian sebanyak ini sudi membersihkan kakus itu
sebersih-bersihnya? Sambil untuk mengambil tempat sirih saya yang jatuh
ke dalamnya?”.
Ramai murid yang merasa enggan dan malas mengerjakan yang diperintah
Syeikh itu. Kemudian Burhanuddin bekerja berjam-jam membersihkan kakus
itu sehingga bersih dan tempat kapur sirih pun ditemukan, lalu
dibersihkannya dan dipersembahkannya kepada Syeikh tersebut. lalu tuan
Syeikh berdoa dengan sepanjang-panjang doa. Selanjutnya Syeikh itu
berkata: “Tanganmu ini akan dicium oleh raja-raja, penghulu-penghulu,
orang besar di Sumatera Barat dan muridmu tidak akan putus-putusnya
sampai akhir zaman, dan ilmu kamu akan memberkati dunia ini. Aku namai
kamu Saidi Syeikh Burhanuddin”.
KEMBALI KE MINANGKABAU
Setelah dia berasa ilmu telah banyak dan telah pula mendapat izinan
dari gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, beliau pun kembali
ke tempat asalnya. Sebelumnya gurunya berkata, “Pulanglah kamu ke
negerimu, ajarkanlah ilmu apa-apa yang ditakdirkan oleh Allah. Kalau
kamu tetap kasih, takut, malu, patuh kepadaku nanti kamu akan mendapat
hikmat kebatinan yakni seolah-olah ruhaniyah saya menjelma kepadamu.
Kalau kamu berkata, seolah-olah itu adalah kataku. Kalau kamu mengajar
seolah-olah itu adalah pengajaranku. Bahkan terkadang-kadang rupa
jasadmu seolah-olah itu adalah jasadku. Kalau kamu sudah begitu rupa
mudahlah bagi kamu mengajarkan agama Islam kepada siapa pun juga.
itulah yang dikatakan Rabithah Mursyid.
Seseorang yang mendapat Rabithah Mursyid orang itu akan terus mendapat
taufik dan hidayah Allah. Dan diberi ilmu hikmah, terbuka rahsia Allah
dan berbahagialah orang itu dunia akhirat, insya-Allah. Kita hanya
bercerai pada lahir, pada batin kita tidak bercerai,” demikian Dr.
Syeikh Haji Jalaluddin yang ditulis dengan gaya tasawuf bersifat
propaganda.
Prof. Dr. Hamka menulis dalam bukunya Ayahku bahawa Syeikh Burhanuddin
Ulakan murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kembali ke kampung
halamannya pada tahun 1100 H bersamaan tahun 1680M. Sejarah mencatat
bahawa beliau meninggal dunia di Ulakan pada 1111 H atau 1691 M, lalu
dimashyurkan oranglah namanya dengan “Syeikh Burhanuddin Ulakan”.
Mengenai riwayat hidup yang pernah diterbitkan, yitu buah pena Tuan
Guru Haji Harun At-Thubuhi Rafinayani. Bahawa dalam buku kecil itu
menyebut Syeikh Burhanuddin itu adalah berasal daripada suku Guci. Buya
K.H. Sirajuddin Abbas juga menulis demikian. Terakhir sekali tentang
tokoh sufi ini dapat pula dibaca dalam tulisan Drs. Sidi Gazalba yang
dimuat dalam buku Mesjid Pusat Ibadat dan Kebudayaan Islam.
KETURUNAN
Menerusi tulisan Dr. Syeikh Haji Jalaluddin, dapat juga disimpulkan
keterangan bahawa Syeikh Burhanuddin kembali dari Aceh dengan berjalan
kaki. Mula-mula dia sampai ke negeri Tiku, Kabupaten Agam sekarang. Di
Tiku itu dia berkahwin dengan seorang perempuan setempat. Dari
perkahwinan itu dia mendapat anak lelaki yang bernaman “Sidi Abdullah
Faqih”,. Beliau ini kemudian meneruskan ajaran orang tuanya.
Sidi Abdullah Faqih mendapat anak bernama “Sidi Abdul Jabbar”. Syeikh
Abdul Jabbar mendapat anak bernama "Sidi Syeikh IIyas”. Sidi Syeikh
Ilyas mendapat anak bernama “Sidi Yusni”. Sidi Yusni adalah murid Dr.
Syeikh Jalaluddin dan sangat patuh kepada gurunya. Mungkin ayahnya Sidi
Ilyas adalah keturunan Syeikh Burhanuddin Ulakan yang pertama
mengamalkan Thariqat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah, kerana sebelumnya
semuanya mengamalkan Thariqat Syathariyah. Diketahui pula bahawa Sidi
Syeikh Ilyas tersebut adalah cicit Syeikh Burhanuddin Ulakan, beliau
inilah baru mempersatukan antara tarekat dengan ilmu pencak silat,
sebagai alat mempertahankan diri.
Manakala yang ditulis oleh Dr. Syeikh Jalaluddin tersebut agak berbeda
dengan cerita masyarakat, yang meriwayatkan bahawa Syeikh Burhanuddin
Ulakan tidak mempunyai zuriat. Diriwayatkan bahawa ketika dia belajar
di Aceh pada suatu hari kerana syahwatnya naik, dia telah memukul
kemaluannya sendiri, sehingga kemaluannya mengalami kecederaan dan
menyebabkan tidak berfungsi lagi untuk melakukan hubungan seks.
TRADISI HARI RABU AKHIR BULAN SAFAR
Hingga kini kubur Syeikh Burhanuddin Ulakan masih diziarahi orang,
terutama pada hari Rabu akhir bulan Safar. Dr. Syeikh Haji Jalaluddin
selaku Ketua Umum Seumur Hidup P.P.T.I (Persatuan Pembela Thariqat
Islam) mengajak seluruh pengikutnya setelah selesai Kongres P.P.T.I
yang ke-16 mengadakan ziarah ke makam Syeikh Burhanuddin di Ulakan.
Semua mereka mengi'tiqadkan bahawa Syeikh Burhanuddin Ulakan adalah
seorang Wali Allah yang banyak karamahnya. Kalau bertawassul kepadanya
selalu dimustajabkan. Salah satu tradisi yang terjadi di makam di
Ulakan itu yang terkenal sampai sekarang ialah Basapa. Tentang ini kita
ikuti tulisan Sidi Gazalba, sebagai berikut, “Syeikh Burhanuddin wafat
10 Safar 1111 Hijrah. Kerana 10 Safar itu tidak tentu jatuh pada hari
Rabu, maka ziarah ke makam pembangun Islam di Minangkabau itu yang
dilakukan serempak hampir dari tiap pelosok Minangkabau, dilakukan dari
hari Rabu sesudah 10 Safar itu setiap tahun.
Berziarah ini terkenal dengan sebutan basapa (bersafar) yang dilakukan
serempak oleh puluhan ribu orang sebelum perang Pasifik. Maka jalan di
antara Pariaman dan Ulakan penuh oleh iringan orang-orang pulang
ziarah, yang jumlah panjangnya sampai kira-kira 10 kilometer. Kaum Muda
di Minangkabau menolak basapa. demikian menurut Drs. Sidi Gazalba.
Ramai orang menuduh yang melakukan basapa terutamanya terdiri dari
golongan tasawuf, lebih-lebih golongan Thariqat Syathariyah. Akan
tetapi kalau kita selidiki lebih jauh, bukti dan kenyataannya bukan
golongan Syathariyah saja, namun demikian golongan Thariqat Qadiriyah,
golongan Thariqat Naqsyabandiyah, juga pengikut Mazhab Syafie bahkan
orang-orang yang mengaku berdasarkan al-Quran dan hadis (tegasnya kaum
muda) pun tidak kurang pula mengerjakan basapa di kubur Syeikh
Burhanuddin di Ulakan itu.
Upacara basapa/bersafar adalah merupakan tradisi nasional kerana dia
juga dilakukan di tempat lain di seluruh Nusantara. Penulis belum yakin
bahawa dikeranakan Syeikh Burhanuddin itu wafat hari Rabu bulan Safar
dijadikan sebab maka terjadinya basapa. Di Kalimantan Barat misalnya,
orang bersafar ke kubur Upu Daeng Menambon di Sebukit Raya (di hulu
Mempawah). Orang menduga bahawa Upu Daeng Menambon meninggal dunia pada
16 Safar 1174 H, iaitu tepat pada hari Rabu di akhir bulan Safar. Di
Tanjung Katung, Singapura, pada zaman dulu ramai orang mandi-mandi
Safar di sana, ini diakibatkan dengan meninggalnya siapa? Dan
meninggalnya siapa pula jika dikerjakan perkara itu di tempat
lain-lainnya?
Sebenarnya dalam kitab-kitab Islam banyak yang menyebut memang ada
dinamakan bala pada akhir Safar. Seumpama Syeikh Muhammad bin Ismail
Daud al-Fathani menyalin perkataan ulama, yang beliau muat dalam
kitabnya Al-Bahyatul Mardhiyah, kata beliau, “Kata ulama disebut dalam
kitab Al-Jawahir, diturunkan bala pada tiap-tiap tahun 320,000 (tiga
ratus dua puluh ribu) bala. Dan sekalian bala pada hari Rabu yang akhir
pada bulan Safar. Maka hari itu terlebih payah daripada setahun”.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis juga seperti demikian di
dalam kitabnya, Jam'ul Fawaid.
Demikian juga ulama-ulama lainnya, baik yang berasal dari dunia Melayu
mahu pun bukan. Jelas bahawa memang ada ulama yang mengakui pada hari
Rabu akhir Safar itu ada bala yang turun. Bahawa Islam meyakini memang
ada yang dinamakan bala, ada yang dinamakan taun, ada yang dinamakan
wabak dan sebagainya. Sebaliknya sebagai perimbangannya ada yang
dinamakan rahmat, ada yang dinamakan berkat, ada yang dinamakan hidayat
dan sebagainya.
Tentang bila Tuhan menurunkan yang tersebut itu tiada siapa yang
mengetahuinya. Dalam Islam ada nama-nama yang tersebut itu semua,
bahkan telah menjadi keyakinan adanya. Sungguh pun turunnya bala, wabak
atau sebaliknya tiada siapa yang mengetahuinya. Namun dalam menyambut
hari yang bersejarah bolehlah akhir Safar, Rabunya dimasukkan dalam
kategori ini ramai orang membuat kaedah-kaedah baru yang kadang-kadang
berlebih-lebihan sifatnya. Selalu pula terjadi bidaah dan khurafat yang
dicela oleh Islam itu sendiri.
Sebagai contoh, bersuka ria pada akhir Safar itu dengan melakukan
mandi-mandi secara berkelompok, berkumpul lelaki dan perempuan adalah
satu pekerjaan bidaah mazmumah yang sangat dilarang oleh syarak. Akan
tetapi berdoa minta perlindungan daripada bala atau memohon rahmat atau
lainnya adalah diajarkan oleh agama Islam. Meminta sesuatu kepada
Allah boleh dilakukan setiap saat baik pada akhir Safar atau waktu
lainnya lebih-lebih waktu yang dianggap berkat. Doa-doa dan perbuatan
meminum air Safar pun tidak pula dapat dinafikan kerana banyak ulama
yang telah menulis wafaq Safar itu di dalam kitab-kitab mereka, yang
salahnya adalah perbuatan si jahil yang selalu melakukannya
berlebih-lebihan.
Hingga di sini penulis tutup mengenai Syeikh Burhanuddin Ulakan, ulama
besar mazhab Syafiie, pengikut fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah,
penyebar Thariqat Syathariyah di daerah Minangkabau yang telah
mencurahkan seluruh hidupnya untuk Islam semata-mata bukan kepentingan
lainnya. Usaha-usahanya belakang hari akan diikuti oleh ulama-ulama
yang berasal dari Sumatera Barat secara berantai yang tiada akan
putus-putusnya hingga waktu sekarang.
Kita mengenali nama-nama popular yang berasal dari Minangkabau di
antaranya ialah; Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau, Syeikh Ahmad
Khathib bin Abdul Latif Minangkabau, Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli Candung,
Syeikh Jamil Jaho, Dr. Syeikh Haji Jalaluddin, Syeikh Jamil Jambek,
Dr. Abdul Malik Amrullah, Kiayi Haji Sirajuddin Abbas, Prof. Dr. Hamka
dan ramai lagi.
Sumber : ulama-nusantara-baru.blogspot.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar